Sunday, 23 December 2012

BUKAN AKU TAK KISAH














Kisah-kisah semalam telah terbenam
Timbul pula cerita-cerita yang suram
Aku menyepi dalam diam
Tapi telingaku masih mendengar
Kata dan cerita itu masih tersebar

Aku bukan siapa-siapa
Kata nasihatku jadi mainan belaka
Sudah ku bilang dari awalnya
Keinginan, kepentingannya yang utama
Yang diminta bukan aku yang mendamba
Pilihan… dia sendiri yang pinta
Diriku tahu takkan termampu untuk dia

Kenapa ada syak wasangka
Tidak tahu yang sahih dan nyata
Tanpa kau sedar disisimu
Ada duri dalam daging
Ada drama, ada pura-pura, ada kisahnya
Ada suara hening terus mencekam
Dan kau buta kerana kepentingan
Tidak pernah belajar dari kesilapan

Cukup-cukuplah aku diperkata
Dari jauh aku mendiam
Seraya bertasbih kepada Pencipta Alam
Untuk tenangku dan lewati yang suram
Seribu untai kata telah terhujam
Terlaksana doa dan harapan juga terancam
Yang bukanlah semata dendam
Melainkan rintihnya hati dan lelahnya menyelam
Dengan menahannya nafas terlaksana sabar bersilam

Dan bukan aku tak kisah
Kerana tua ku belajar dari sejarah…….

16/12/2012 – 9.25 malam
Taman Seri Gombak

Saturday, 15 December 2012

SATU WAJAH SERIBU KISAH


Ketika fajar menyingsing
Denai dan lembah kedinginan
Terdengar titisan air menitik
Tik…Tik…Tik…
Dijendela usang
Sepasang mata merenung jauh
Sekeping hati yang sendu
Sudah tertutup rapi
Menjana mimpi menganyam rindu
Hingga kehujung malam sepi
Mungkinkah sepi itu terus bertamu ???

Lalu dengan bingkas terjaga
Dalam hati terus beristigfar
Terusan langkah mengambil wuduk
Bersolat, bersujud mengadu padaNya

Ya Allah... Ya Rahman… Ya Rahim…
Sebaris doa indahnya bahasa
Ku lafazkan penuh tabah
Hanya padaMu aku berserah….

Wahai HATI…
Jangan dipetik bintang yang tinggi
Meski bersinar tidak terperi
Jangan leka memandang bulan di langit
Kerana bumi yang dipijak tidak bertepi
Tanpa cahayaNya tetap malap dan gelap

Dalam hidupku yang sepi
Tiada siapa yang ambil penduli
Saban waktu menghitung rindu
Merenung jalan tiada berpintu

Akhirnya aku sedar
Aku bukan sendiri
Hanya menyepi… menginsafi diri…
Semakin Dia dekat di hati....
Dan andainya aku tiada lagi
Hanya ada satu wajah….. seribu kisah
Tiada siapa boleh mengubah
Itulah wajah yang hancur dan musnah…


15/12/2012 – 1 Safar 1434H
TAMAN SERI GOMBAK
SELANGOR

Saturday, 17 November 2012


LANGKAWI – AKU DATANG LAGI

Jauh berbatu jarak terpisah
Meredah jalan berliku
Dari subuh hening
Penuh kesabaran, penuh keyakinan
Datang lagi kesini untuk sekian kali
Mengimbau kenangan manis
Kenangan memberi pengajaran
Kenangan membawa sempadan
Aku dan dia… sama-sama teruja
Ada ketika membawa duka
Biar perit mentari
Biar cuaca melekit di badan
Nampak luaran riang berpegangan
Mulut petah penuh bualan
Namamu tak lekang jadi sebutan
Bercerita kisah dulu-dulu
Bak Helang terbang tenang mengawasi
Tetap tabah menanti
Seribu harapan… mencari jawapan

Ada kala terbang tinggi
Tapi mata tetap disini
Ada cerita, ada peristiwa
Yang tak terucap dengan kata-kata
Biarlah dia disitu
Akan ku lawati sejarahnya
Supaya dekat dihati
Tetap bersemadi
Berdiri tegak dengan deruan angin
Keras biarpun dihempas ombak bergelora
Datang bersilih ganti
Langkawi, kau tetap di HATI…


Eagle Bay Hotel – Langkawi
13 – 15 November 2012


Monday, 5 November 2012

DAN AKU TERIMA NIKAHNYA…


Apabila kita ditakdirkan bersua
Dan akhirnya kita jatuh cinta semula
Meskipun ini semua cerita lama

Syukur padaMu Ya Allah
Kerana memberi peluang kedua
Aku, Kau ada cerita…
Memberikan ruang jalan rindu dan bahagia
Ada kalanya sukar
Bagai melihat bayang diair
Yang tidak boleh digenggam
Mengalir terus laju
Tetapi cukup meningalkan kesan

Apabila dilamar tanpa madah
Hatiku hanya pasrah padaMu Ya Allah
Kenal budi, kenal hatinya, kenal keluarga
Itu yang menjadi tiang utama

Melangkah aku kedalam tamannya
Membawa bersama “puteri” kesayangan
Menyerah hati dan harapan
Agar kau jaga dengan penuh keikhlasan


Akhirnya sampai juga detik itu
DAN AKU TERIMA NIKAHNYA
Bersaksikan bonda tercinta
Restunya…. juga air mata
“puteri” kesayangan yang mendahului
menggenggam tangan mesra…
dan aku sekadar terikat antara kedua


Dalam kepayahan mencari bahagia
Yang jarang dapat ku rasa
Kadang-kadang hilang dalam angin malam
Dan muncul semula dalam mimpi tengahari
Sehingga tersentak dari mimpi ngeri

Bahagia ku biarlah tersimpan disini
24 tahun aku abadikan diri
Biar menjadi rahsia HATI
Biarpun tiada lagi “puteri”
Dan satu ketika nanti
Akan ku sampaikan melalui memori

Adakah kau mengerti
Tentang cerita ini
Kebahagiaanku…. masihkah disini…
Tanpa “puteri” yang mewarnai…
Dan aku….Permaisuri yang sepi….


5hb November 1988 (Kg Lanchang )
5hb November 2012 (Tmn Seri Gombak)

Friday, 26 October 2012


APALAH ERTI “KORBAN” & “PENGORBANAN”
(Sempena Hari Raya Korban)



Pengorbanan yang tidak dikenang
Korban yang hilang tidak dipandang
Mengorbankan harga diri yang tiada jasanya
Terkorban kerana mempertahankannya

Dimana letaknya aku
Atau tidak satu pun yang bermakna
Mungkin perkataannya sama
Tapi manusia yang mengkelaskan ceritanya

Biar bercucuran deras keringat
Membasahi tubuh yang terikat
Membawa angan, jauh entah kemana ?
Dan aku disitu terus membatu

Bagaikan pungguk merindukan rembulan,
Jiwa ini terperuk dalam kesedihan
Mata tetap melihat, biarpun ada jiwa berkarat
Detik terus berlalu ditutup awan kelabu

Pagi yang menjadi malam
dan bulan yang menjadi tahun
Sekian lama telah menanti
Dirinya tetap terlepas pergi….

Apalah ertinya korban
Jika aku yang menjadi bahan
Akhirnya ditinggalkan
Tidak pernah rasa bersalah
Bila kaki sudah pandai melangkah

Aku anggap semua itu mimpi ngeri
Biarlah dia, mereka atau sesiapa 
pergi dari kegelapan abadi
Dan aku hanya sedetik masa
Dipentas sandaran dikelilingi boneka..
Dan apalah ertinya “korban” & “pengorbanan”….
Tinggal mati..sepi…ngeri dan benci
Tiada siapa peduli…



26hb. Oktober 2012
Kg. Baru Bentong

Sunday, 21 October 2012

ANDAINYA KU TAHU….


Waktu semalam bisa
Kuputar kembali
Akan ku ubah diri
Bukan menjadi “HATI” lagi
Menjadi diri yang tak mudah jauh hati
Biar yang hitam menjadi putih
Yang merah tidak bernanah
Semoga kuntum-kuntum bunga terus berputik
Tanpa mengembang mekar
Tanpa ada kumbang yang berligar
Tanpa ada sesalan yang berakar…..

Akan ku bina laman diri
Terletak mahligai besi
Dikelilingi warna-warna pelangi
Dihiasi sinar matahari
Bila malam, bulan terus mengambang
Dan aku terus lena diulit ketenangan
Biar dalam diriku terungkai
Sifat-sifat Mazmumah
Tersemai sifat-sifat Mahmudah
Dan HATIku bahagia
Dengan Mujahadah

Ya Allah Ya Rabbi…
Hanya Engkau yang mengetahui….
Dan aku tak ingin menangis lagi…


2hb. Oktober 2012
(nun jauh disana…..WP Labuan)

Sunday, 16 September 2012


RAHSIA HATI DIAKHIR SYAWAL…..


Syawal yang telah menutup jendelanya
Langkah yang tidak sampai kepintunya
"Maaf" yang tidak diucap
Biar tangan yang menghulur
Dan badan yang berdakap
Ikhlaskah hatimu
Tertusukkah dijiwamu
Kata-kata yang telah diluah
Sakit yang tidak terubat
Aku yakin semua itu kau tak kisah
Takpe…. satu hari nanti kebenaran
Terserlah……
Bayang-bayang itu terdedah
Aku yang berusia
Sabar menanti…
Kau tunjukkanlah RAHSIA HATI…

29 Syawal 1433H
16 Sept. 2012
Pahang….

Saturday, 8 September 2012


SEPI DARI KAMAR “HATI” INI….

(untuk Syawal yang berlalu pergi…)



Tatkala kau kembali
hatiku telah beku, aku dengan keakuanku
tatkala kau mohon diampun
aku hanya mampu merenung
tatkala kau menangis
aku sekadar membiarkan juraian air mata itu
mengalir lesu..
sedangkan hatiku tidak mengerti apa-apa
dek usia dan hati yg kian merangkak senja

Ikhlaskah hadirmu itu
jika sekadar dipaksa ke mari
takutkah sumpah memakan diri
setelah sekian lama kumenanti
dalam mencari erti kasih sayang yang sejati
yang kutemui sekadar mimpi ngeri dan janji-janji
yang tak pernah kau tepati

Kusenandungkan irama syahdu
buat anak-anakku
kunyanyikan lagu rindu
buat permata hatiku
sedih...pilu..sayu...
 
Dan aku tak ingini semua itu lagi
Kerana diri aku tiada tempat dihatimu
Aku kau letakkan diakhir garisan..
Siapalah aku…..

Andai ada masa lagi….
Andai kesempatan itu masih teruji….
ingin kudakap kamu berdua
ingin kupeluk cium kamu semua
seperti waktu-waktu kecil kamu
tapi…..
kini aku tidak bisa lagi
lantaran hatiku robek dan bernanah
Perbuatan kamu berdua amat kejam     
Dan aku semakin jauh kebelakang..
Sekadar sekali lagi kemaafan
Tak mungkin dapat ku berikan
Hatiku sudah membeku
Lantaran sikap kamu
Sedikitpun tidak menghormat diriku…

hanya sekadar mengeluh tanpa bicara
bicara hanya disini saja
detik cuma menanti masa
bakal kupergi sendiri
bersama hati yang sepi
andai diizinNya lagi
Syawal nanti
aku belum pasti
di sini...

Anak-anakku
cuma satu pesanku
jaga diri jaga HATI
agar tiada siapa yang rugi
dan...izinkan aku pergi.
 
 
Buat anak-anak perempuanku
Izan dan Fifi
19hb Ogos 2012 / 1 Syawal 1433
Kampung Baru, Bentong, Pahang.


Thursday, 28 June 2012


BIARKAN SAYANG ITU PERGI
(Biarkan aku sendiri lagi…………)


Biarkanlah….
Pergilah dari HATI ini...

Biarkanlah rindu itu
Pergi dari HATI ini...

Biarkanlah kasih itu
Pergi dari HATI ini...

Biarkanlah sayang itu
Pergi dari HATI ini...

Andainya bisa membuatkan kau bahagia...
Andainya bisa membuatkan kau tersenyum..
Andainya kau bisa melupakan yang hakiki
Andainya kau bisa begitu selesa

Bahagiakanlah dirimu
Biarkanlah bertimbun derita dikalbuku
Aku sudah lali begitu, malah sudah keras hati ini
Sudah kering jiwa ini, sudah malas aku menunggu
Agar aku bisa urus kehidupan sendiri
Mengiringi dan menemani sisa-sisa tuaku

Dan biarlah aku pergi
Menghibur.. merawat hati sendiri….
Jangan ditanya jika pertanyaan itu seperti tampelan kata
Yang berulang-ulang tanpa makna
Tanpa rasa… dari perasaan dan sanubari ikhlasmu
Aku jemu, aku penat kerana kata-kata nasihatku
Amat liat buatmu, atau pesananku bagai angin lalu..
Dan khidmatku tidak kau perlu…..

Nun Jauh disana…… kau tetap Puteriku.
Dan aku tahu…………..
Dan kau pun tahu….
Tak sesiapa pun boleh mengubahnya…….


28 Jun 2012 – KL Sentral
(Senandung Langkawi 0920)

APAKAH SALAH KU ..?
Sehingga aku jadi begini?
Sihat ku semuanya “tinggi”,
debaran mengharap setiap hari.

Apakah salah ku ..?
Memberi kasih sepenuh hati,
dari mula mengenal “ABC”,
sehingga mencecah menara yang tinggi.
Tidak terlintas mengharap balasan,
hanya kasih yang berpanjangan
selagi hayat dikandung badan,
yang mungkin tidak lagi kesampaian.

Apakah salah ku ..?
Semakin lama semakin terasing,
panggilan biasa sudah berpaling;
menjauhkan diri, membawa hati,
tangisku tanpa air mata lagi.

Apakah lagi usaha ku ..?
Dinasihat sudah; disindir sudah;
dirayu sudah; dipohon pun sudah;
mengalah sudah; marah juga sudah;
berbincang sudah, kompromi sudah;
dizahirkan apajua dihati pun sudah.
Apalah lagi yang harus aku bermadah,
akhirnya aku juga yang dikatakan bersalah.

Apa lagi salah ku ..?
Biarlah, aku mengalah.
Semakin hari semakin meninggi usia,
esok lusa entahkan aku tiada;
pergi seorang diri... tanpa di iringi
bersama mimpi yang sepi,
tak perlulah bersua lagi!


Nukilan Uncle Tan ML
Mengenangi 2161266 @ 211.TSG.my

Friday, 22 June 2012


SIAPAKAH  DIA !!!!......


Sampai kini aku tak faham
Jika pulangnya masih disandar bayang-bayang
Gelak ketawanya seperti ada jurang
Kemesraan itu sudah berubah,  ada batas goyah
Seperti bukan dia yang ku kenal, seperti  bukan dia yang ku rindu
Air mukanya, sinar matanya seperti ada tembok pemisah
Aku rasa dia ada, tapi nyata tiada…. biarpun didepan mata
Sesungguhnya aku cuba sebaik mungkin
Berbuat seperti dulu-dulu, biar pun maafku masih “bersarang”
Banyak sudah aku beralah, hingga mencari dan merendah diri
Semua itu ku tolak tepi demi sebuah rindu…
Untuk sesuaikan dirinya juga alam barunya
Dia memang milik aku, temanku bercerita, temanku ketawa…
Tapi dia dimana !!!…. keluhan itu masih ada, ketidakpuasan masih bertakhta
Ya Allah Ya Tuhanku…. tunjukkan aku jalanMu
Permudahkan dia yang mungkin “tenggelam” dalam persimpangan
Kembalikan dia… jasad dan jiwanya seperti dulu-dulu….
Kerana dia satu-satunya “hartaku”…..

21 April 2012 – Taman Seri Gombak


Thursday, 21 June 2012


MEMORI YANG HAMPIR HILANG
(selamat ulang tahun hubby vs abah)

Memori semalam masih ada
Kemungkinan ada yang telah lupa
sungguh pun sangsi, dan ada rasa benci
jika takdir aku mengadap Ilahi
akulah memori tempat mencari-cari
kekadang juga mungkin tempat merintih
kenapa ianya terjadi….
jika aku masih disisi….
aku masih mengingini…..

andainya waktu itu ada bisikan rasa kesal
ianya sudah terlambat….
tak usahlah kau kenang...
nasib dan takdirku sungguh malang
atau adakah takdir ku sudah ditempat,
atau kerana dosa-dosa silam ku yang sudah tersurat

Hubungan kita  janganlah kau curiga
pertalian darah itu tetap ada…
retak kalbu ibarat dipahat,
hatiku terasa dikerat-kerat,
berlinang air mata melayani memori semalam
Itulah rintisan hari demi hari,
memori oh memori,
aku bersyukur hanya Dia yang sangat  mengetahui….



17/6/12 – Tmn Seri Gombak

p/s :  hari bapa (abah) yang kosong yang sepi
hanya kita yang merintih, hanya kita yang sedih
dan dia……… hari bapanya sudah berpaling….
Dan “abah” sudah jadi terasing….
Maafkan “ati”……
Sesungguhnya diri ini malu dengan apa yg terjadi

Tuesday, 19 June 2012

ANDAINYA AKU MAMPU BERBICARA 
(tidaklah aku sengsara……. )


Andai saja aku petah berbicara,
Pasti saja aku ada teman bercerita
Andai saja aku mampu berseloka,
Pasti saja aku disenangi untuk bercanda,
Andai saja lidahku mampu bermadah,
Aduuuuh pastinya hatiku tidak lagi gundah
Namun mungkinkah semuanya menjadi nyata?

Aku tiada teman yang seikhlas hati
Aku tiada kawan untuk bertukar-tukar cerita
Aku tiada sahabat untuk bergurau senda
Tiada saudara untukku…
kerana aku tiada harta…

Manusia-manusia keliling aku asyik pot pet pot pet
Biar dikeliling ramai tapi aku seperti mahluk yang tidak wujud
Aku mendonggak keatas, mencari sesuatu
Mendengar bunyi suara sepasang merpati
Merpati itu memang payah menjejak halaman,
Biar ditabur padi dari bendang
Biar diletak ditapak tangan
Dia hanya memandang dan terus terbang
Dia hanya mendengar sahutan dari seberang
Dan aku sesungguhnya memang tidak faham

Kemana lagi untukku menadah tangan
Kemana lagi untukku mengadu nasib
Itulah aku…Itulah takdirku

Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar,
Lagi Maha Mengetahui….
Aku bersujud padaMu seikhlas hati…
aku serahkan HATI yang derita ini
Dan sesungguhnya aku pasrah…..


19/6/12 (6.50 pagi)
– Pusat Darah Negara KL